Wednesday, June 30, 2010

GEJALA SOSIAL…APA NAK JADI???

Kebejatan sosial yang melanda masyarakat kita pada hari ini semakin membimbangkan dan menggusarkan banyak pihak terutamanya ibu bapa. Setelah menghadiri Seminar “Pendekatan Undang-Undang Islam di Malaysia Dalam Menangani Gejala Sosial” yang dianjurkan oleh Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara baru-baru ini, saya terpanggil untuk menulis artikel ini bagi mengajak para pembaca semua mengenal pasti punca utama menularnya masalah ini di kalangan masyarakat khususnya di kalangan para remaja. Tanpa mengenal pasti terlebih dahulu punca berlakunya masalah ini, apa jua kaedah penyelesaian yang diketengahkan tidak akan berjaya dan berhasil.

Sebagaimana pandangan yang dilontarkan oleh hampir semua pembentang kertas kerja dalam Seminar tersebut bersetuju bahawa ibu bapa atau institusi kekeluargaan merupakan komponen utama yang perlu menjadi suatu pasukan yang perlu berganding bahu untuk terlebih dahulu mencorak masyarakat yang pada awal usianya bersifat suci dan bersih. Banyak juga di kalangan kita acap kali menyebut-nyebut peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, namun masih ramai yang tidak mengerti akan maksud sebenar peribahasa ini dan kaedah sebenar untuk mengaplikasikan peribahasa ini dalam mendidik anak-anak mereka. Kesibukan ibu bapa hari ini yang mendesak dan menuntut mereka untuk mengutamakan kerjaya dan wang ringgit telah menyebabkan anak-anak terabai. Ramai di antara kita yang mula terlupa akan tanggungjawab sebenar hidup bekeluarga dan sering mengambil sikap ‘lepas tangan’ dengan menyerahkan anak-anak sepenuhnya ke tangan orang lain untuk mengasuh dan mendidik mereka. Seperti kata Prof. Madya, Dr. Harlina Halizah binti Haji Siraj, pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), “kita yang memilih untuk melakukan sesuatu perkara”. Menurut beliau jika kita memilih untuk tidak meluangkan masa untuk anak-anak, maka kita tidak akan ada masa untuk anak-anak. Kita yang membuat pilihan tersebut dan bukan orang lain.

Naluri semula jadi anak-anak sebenarnya juga akan takut pada ibu atau bapa yang bersikap tegas dan kebanyakan anak-anak pada hari ini lebih rapat dengan ibu berbanding bapa. Ini kerana ramai kaum bapa pada hari ini meletakkan diri mereka hanya sebagai individu dalam rumahtangga yang berperanan mencari nafkah semata-mata dan bukannya individu yang juga harus bekerjasama dalam mendidik anak-anak. Tidak hairanlah ada di antara mereka yang berkahwin lebih dari seorang dan melahirkan ramai anak dan kemudiannya hampir berkahwin dengan anak kandung sendiri disebabkan langsung tidak ada waktu untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Ada juga anak-anak pada hari ini tidak rapat dengan kedua ibu bapa apabila memasuki alam remaja. Ibu bapa pula tidak berusaha untuk menjadi kawan kepada anak-anak. Anak-anak pula lebih seronok meluangkan masa mereka bersama rakan-rakan dan orang lain yang boleh memberi perhatian dan kasih sayang yang lebih pada mereka. Jika orang yang menjadi pilihan anak-anak itu boleh memimpin ke arah kebaikan, Alhamdulillah, tetapi jika sebaliknya, itu yang kita bimbangkan.

Melihat kepada senario gejala sosial pada hari ini, kita seharusnya lebih prihatin dan sentiasa bersiap siaga menyediakan bekalan yang mencukupi untuk anak-anak kita bagi menempuh badai lautan dunia yang penuh pancaroba. Bekalan yang dimaksudkan bukanlah dari segi material, tetapi dari aspek kasih sayang dan pengisian rohani dan emosi. Sedar atau tidak, kebanyakan anak-anak muda pada hari ini amat dahagakan kasih sayang dan sebenarnya segala perlakuan dan tindak tanduk agresif yang dilakukan oleh anak-anak ini adalah semata-mata untuk menuntut perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Jika kita tanya hari ini berapa ramai ibu bapa yang melarang anak-anak dari keluar pada waktu malam dan meluangkan masa untuk solat berjemaah dan makan malam bersama, sudah tentu jawapannya banyak menjurus kepada isu kekangan masa dan sengaja memberi ruang kebebasan pada anak-anak untuk berkawan dan berhibur. Tapi tanpa disedari hal inilah yang kemudiannya meruntun kepada keruntuhan akhlak dan moral yang akhirnya mengundang kepada permasalahan sosial yang sangat serius.

Menyentuh soal agama dan akidah pula, ramai ibu bapa sendiri pada hari ini tidak mengambil berat soal agama dan sangat lemah pegangan akidahnya. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan juga sudah menjadi suatu budaya barat yang sengaja ditiru dan seolah-olah bukanlah suatu kesalahan. Semua aksi-aksi menjolok mata dilakukakan dan ditayang di khalayak ramai tanpa segan silu. Masyarakat kita pada hari ini tidak kira tua atau muda begitu mudah dan tanpa rasa janggal dan malu berpeluk-pelukan dan berciuman sesama mereka. Tetapi yang peliknya, suami isteri, ibu bapa dan anak-anak pula yang merasa malu dan janggal untuk berpelukan sesama mereka. Walhal perkara inilah yang akan mengeratkan lagi ikatan kasih dan hubungan antara mereka dan sekali gus mengukuhkan institusi kekeluargaan. Inilah masalah masyarakat kita pada hari ini yang kebanyakannya bersifat “malu tak bertempat”.

Selain itu, isu “dating” dan “ couple” juga adalah perkara biasa sedangkan dua perkara inilah yang banyak menjebakkan masyarakat kita pada hari ini ke kancah penzinaan. Tidak kurang yang muda, lebih menijijikkan lagi ada di kalangan ibu bapa sendiri yang terlibat dalam perkara terkutuk ini. Apa yang lebih menyedihkan dan membimbangkan ramai juga di kalangan ibu bapa mengambil remeh tentang hukum hakam dan tidak pula berusaha untuk mendekati masjid dan para ilmuan untuk mendalami ilmu agama waima tentang ilmu paling asas seperti solat dan puasa. Sayang seribu kali sayang, umat Muhammad hari ini semakin jauh dari landasan kesempurnaan iman dan banyak yang sudah tergelincir dari landasan keimanan. Agama tidak lagi menjadi pakaian dan al-Quran tidak pernah menjadi pedoman. Artis disanjung, lagu-lagu yang mengkhayal dan mengasyikkan didendang tiap saat tanpa henti sehingga terabai semua waktu solat, hiburan jadi keutamaan, syaitan jadi sahabat, keluarga menjadi musuh, pendakwah dicaci maki. Benarlah dunia semakin menghampiri ke hujung usianya. Hari ini perempuan hilang maruah dan harga diri, anak-anak juga sudah tidak hormat pada ibu bapa, bahkan keduanya dijadikan kuli. Al-quran hanya dijadikan barangan hiasan dan dagangan, isinya sudah tidak dihiraukan. Rumah-rumah Syaitan penuh riang, rumah-rumah Allah kosong dan lengang.

Sekarang terserahlah kepada kita untuk memilih jalan hidup yang terbaik untuk kita dan keluarga kita. Islam sendiri juga telah meletakkan banyak garis panduan dalam usaha memelihara diri dan keluarga dari azab seksa neraka. Bersama-samalah kita pilih jalan selamat untuk menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi.

1 Julai 2010

Sunday, April 11, 2010

Roda Kehidupan

Putaran hidup ibarat roda..kadang di atas dan kadang di bawah...namun, biar ia di atas atau di bawah sekalipun, ceriakanlah sentiasa diri dan hidup anda serta orang-orang di sekeliling anda seolah-olah hari ini hari terakhir anda dapat melihat mereka dan membuat mereka tersenyum pada anda.

SOLAT DHUHA-Murahkan rezeki, menolak kepapaan

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, Antaranya dalam riwayat Abu Hurairah yang bermaksud -

"Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan"
                                                                                                   (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang bermaksud - 

"Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha ."
                                                                                                   ( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab "An-Nurain", sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya :

"Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

"Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan."
                                                                                                      (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu berkata :

"Aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam berkata : "Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas".                                                                                                    
(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita'khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh 'Aisyah bermaksud : "Adalah Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya."

(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda bermaksud :

"Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya," ( Riwayat At-Thabarani )

Manakala surah yang sunat dibaca selepas membaca Faatihah pada rakaat pertama ialah surah as-Syams dan rakaat kedua selepas membaca al-Faatihah disunatkan membaca surah adh-Dhuha.

Adapun niat sembahyang Dhuha ialah :
Ertinya : "Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala "

Doa’ sembahyang Dhuha ialah:
Maksudnya : " Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh ."



Keyakinan Diri Untuk Mengubah Dunia – siri 1

Sebagai peringatan dan renungan bersama, petikan dari Majalah Solusi Isu. No. 17

Dinukilkan daripada kitab Ihya’ Ulumuddin, seorang ahli sufi telah berkata: “Biarlah aku sederhana pada pandangan orang lain, rendah pada pandangan diri sendiri dan tinggi pada pandangan Allah.” Rendah pada pandangan diri sendiri bukan bermaksud menghina diri atau “self sabotaging” tetapi bermaksud tidak memiliki sifat sum’ah dan ujub. Sum’ah itu kita suka jika mendengar pujian orang lain terhadap kita. Manakala ujub itu rasa takjub akan kelebihan dirinya.

Rendah diri itu ialah tawaduk. Yakni merasa diri belum baik, lalu berusaha terus-terusan memperbaiki diri dengan melakukan banyak kebaikan. Rendah diri itu juga bererti rasa tidak puas dengan amal yang sedikit lalu berusaha menambah amal sendiri. Rendah diri itu juga mendorong rasa sentiasa berdoa, lalu hati sentiasa merintih dan bertaubat kerananya.

Jangan silap memahami bahawa rasa rendah diri itu sebagai penyakit “inferiority complex” yang rasa terancam, bimbang dan rasa hina atas kemampuan dan kebolehan diri. Demikian itu bukan sifat orang beriman bahkan Islam melarang umatnya bersifat demikian. Firman Allah yang bermaksud: “Jangan kamu merasa lemah dan berdukacita, sebaliknya kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman” (Surah Ali ’Imran 3:139). Umat Islam ialah umat yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Keyakinan diri ialah pandangan diri terhadap diri sendiri tentang kemampuannya untuk berjaya dan cemerlang dalam hidup di dunia dan akhirat. Sesungguhnya pandangan diri anda terhadap diri sendiri adalah lebih penting berbanding pandangan orang lain terhadap kita.

Keyakinan diri sangat sinonim dengan harga diri. Keyakinan adalah perasaan stabil dan serasi dengan diri sendiri yang menyebabkan kita rasa layak, mampu dan yakin untuk mencapai kejayaan. Tanpa keyakinan diri, ilmu yang tinggi, harta yang banyak, rupa yang cantik dan apa jua kelebihan pun tidak akan menyumbang kepada kejayaan.

Untuk membangunkan semangat juang mesti bermula dengan membangunkan sikap yakin diri. Mustahil Allah mencipta kita untuk gagal – sebab Dia Maha Pemurah dan penyayang. Tuhan mahu hamba-Nya berjaya dan untuk itu kita telah diberikan-Nya segala kekuatan dan kelengkapan untuk berjaya. Tugas kita hanya untuk mengenali dan meneroka kekuatan dan kelengkapan itu. Setiap manusia tidak dibiarkan oleh Allah s.w.t. begitu sahaja tanpa kelebihan masing-masng. Kata bijak pandai, “Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza.” Malah ada yang menegaskan bahawa seiap manusia mestilah berkeyakinan bahawa dunia tidak akan lengkap tanpa kehadirannya!

Kita perlu menggunakan seluruh kelengkapan – nikmat, bakat, ilmu dan kebijaksanaan – yang diberikan Allah kepada kita secara optimum dan ke arah kebaikan. Inilah makna di sebalik tempelakan Allah yang dibuat sebanyak 31 kali dalam surah Al-Rahman mafhum firman-Nya: “Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak nafikan?”. Atas kekuatan inilah kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah, Kadi Rabb al-Jalil di padang mahsyar nanti. Ketika itu kita tidak boleh meletakkan beban dosa di pundak orang lain. Setiap diri bertanggungjawab terhadap segala kelengkapan yang telah diberikan kepadanya semasa hidup di dunia.

Wednesday, April 7, 2010

Wanita hebat dan cemerlang

bangkitlah semua wanita...berjuanglah utk membangunkan ummah...jgn biar hati dan jiwa kita rapuh...biar menitis air mata..tp jgn biar semangat mati...biar badai dtg melanda...jgn biar kesabaran lenyap...biar diasak perit derita...jgn biar iman tergadai...biar tersentuh hati nurani...jgn dibiar amarah menyapa...bulatkan hati, tekadkan semangat...jgn biarkan rasa lemah membunuh jiwa yg bernyawa!!!