Wednesday, June 30, 2010

GEJALA SOSIAL…APA NAK JADI???

Kebejatan sosial yang melanda masyarakat kita pada hari ini semakin membimbangkan dan menggusarkan banyak pihak terutamanya ibu bapa. Setelah menghadiri Seminar “Pendekatan Undang-Undang Islam di Malaysia Dalam Menangani Gejala Sosial” yang dianjurkan oleh Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara baru-baru ini, saya terpanggil untuk menulis artikel ini bagi mengajak para pembaca semua mengenal pasti punca utama menularnya masalah ini di kalangan masyarakat khususnya di kalangan para remaja. Tanpa mengenal pasti terlebih dahulu punca berlakunya masalah ini, apa jua kaedah penyelesaian yang diketengahkan tidak akan berjaya dan berhasil.

Sebagaimana pandangan yang dilontarkan oleh hampir semua pembentang kertas kerja dalam Seminar tersebut bersetuju bahawa ibu bapa atau institusi kekeluargaan merupakan komponen utama yang perlu menjadi suatu pasukan yang perlu berganding bahu untuk terlebih dahulu mencorak masyarakat yang pada awal usianya bersifat suci dan bersih. Banyak juga di kalangan kita acap kali menyebut-nyebut peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, namun masih ramai yang tidak mengerti akan maksud sebenar peribahasa ini dan kaedah sebenar untuk mengaplikasikan peribahasa ini dalam mendidik anak-anak mereka. Kesibukan ibu bapa hari ini yang mendesak dan menuntut mereka untuk mengutamakan kerjaya dan wang ringgit telah menyebabkan anak-anak terabai. Ramai di antara kita yang mula terlupa akan tanggungjawab sebenar hidup bekeluarga dan sering mengambil sikap ‘lepas tangan’ dengan menyerahkan anak-anak sepenuhnya ke tangan orang lain untuk mengasuh dan mendidik mereka. Seperti kata Prof. Madya, Dr. Harlina Halizah binti Haji Siraj, pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), “kita yang memilih untuk melakukan sesuatu perkara”. Menurut beliau jika kita memilih untuk tidak meluangkan masa untuk anak-anak, maka kita tidak akan ada masa untuk anak-anak. Kita yang membuat pilihan tersebut dan bukan orang lain.

Naluri semula jadi anak-anak sebenarnya juga akan takut pada ibu atau bapa yang bersikap tegas dan kebanyakan anak-anak pada hari ini lebih rapat dengan ibu berbanding bapa. Ini kerana ramai kaum bapa pada hari ini meletakkan diri mereka hanya sebagai individu dalam rumahtangga yang berperanan mencari nafkah semata-mata dan bukannya individu yang juga harus bekerjasama dalam mendidik anak-anak. Tidak hairanlah ada di antara mereka yang berkahwin lebih dari seorang dan melahirkan ramai anak dan kemudiannya hampir berkahwin dengan anak kandung sendiri disebabkan langsung tidak ada waktu untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Ada juga anak-anak pada hari ini tidak rapat dengan kedua ibu bapa apabila memasuki alam remaja. Ibu bapa pula tidak berusaha untuk menjadi kawan kepada anak-anak. Anak-anak pula lebih seronok meluangkan masa mereka bersama rakan-rakan dan orang lain yang boleh memberi perhatian dan kasih sayang yang lebih pada mereka. Jika orang yang menjadi pilihan anak-anak itu boleh memimpin ke arah kebaikan, Alhamdulillah, tetapi jika sebaliknya, itu yang kita bimbangkan.

Melihat kepada senario gejala sosial pada hari ini, kita seharusnya lebih prihatin dan sentiasa bersiap siaga menyediakan bekalan yang mencukupi untuk anak-anak kita bagi menempuh badai lautan dunia yang penuh pancaroba. Bekalan yang dimaksudkan bukanlah dari segi material, tetapi dari aspek kasih sayang dan pengisian rohani dan emosi. Sedar atau tidak, kebanyakan anak-anak muda pada hari ini amat dahagakan kasih sayang dan sebenarnya segala perlakuan dan tindak tanduk agresif yang dilakukan oleh anak-anak ini adalah semata-mata untuk menuntut perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Jika kita tanya hari ini berapa ramai ibu bapa yang melarang anak-anak dari keluar pada waktu malam dan meluangkan masa untuk solat berjemaah dan makan malam bersama, sudah tentu jawapannya banyak menjurus kepada isu kekangan masa dan sengaja memberi ruang kebebasan pada anak-anak untuk berkawan dan berhibur. Tapi tanpa disedari hal inilah yang kemudiannya meruntun kepada keruntuhan akhlak dan moral yang akhirnya mengundang kepada permasalahan sosial yang sangat serius.

Menyentuh soal agama dan akidah pula, ramai ibu bapa sendiri pada hari ini tidak mengambil berat soal agama dan sangat lemah pegangan akidahnya. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan juga sudah menjadi suatu budaya barat yang sengaja ditiru dan seolah-olah bukanlah suatu kesalahan. Semua aksi-aksi menjolok mata dilakukakan dan ditayang di khalayak ramai tanpa segan silu. Masyarakat kita pada hari ini tidak kira tua atau muda begitu mudah dan tanpa rasa janggal dan malu berpeluk-pelukan dan berciuman sesama mereka. Tetapi yang peliknya, suami isteri, ibu bapa dan anak-anak pula yang merasa malu dan janggal untuk berpelukan sesama mereka. Walhal perkara inilah yang akan mengeratkan lagi ikatan kasih dan hubungan antara mereka dan sekali gus mengukuhkan institusi kekeluargaan. Inilah masalah masyarakat kita pada hari ini yang kebanyakannya bersifat “malu tak bertempat”.

Selain itu, isu “dating” dan “ couple” juga adalah perkara biasa sedangkan dua perkara inilah yang banyak menjebakkan masyarakat kita pada hari ini ke kancah penzinaan. Tidak kurang yang muda, lebih menijijikkan lagi ada di kalangan ibu bapa sendiri yang terlibat dalam perkara terkutuk ini. Apa yang lebih menyedihkan dan membimbangkan ramai juga di kalangan ibu bapa mengambil remeh tentang hukum hakam dan tidak pula berusaha untuk mendekati masjid dan para ilmuan untuk mendalami ilmu agama waima tentang ilmu paling asas seperti solat dan puasa. Sayang seribu kali sayang, umat Muhammad hari ini semakin jauh dari landasan kesempurnaan iman dan banyak yang sudah tergelincir dari landasan keimanan. Agama tidak lagi menjadi pakaian dan al-Quran tidak pernah menjadi pedoman. Artis disanjung, lagu-lagu yang mengkhayal dan mengasyikkan didendang tiap saat tanpa henti sehingga terabai semua waktu solat, hiburan jadi keutamaan, syaitan jadi sahabat, keluarga menjadi musuh, pendakwah dicaci maki. Benarlah dunia semakin menghampiri ke hujung usianya. Hari ini perempuan hilang maruah dan harga diri, anak-anak juga sudah tidak hormat pada ibu bapa, bahkan keduanya dijadikan kuli. Al-quran hanya dijadikan barangan hiasan dan dagangan, isinya sudah tidak dihiraukan. Rumah-rumah Syaitan penuh riang, rumah-rumah Allah kosong dan lengang.

Sekarang terserahlah kepada kita untuk memilih jalan hidup yang terbaik untuk kita dan keluarga kita. Islam sendiri juga telah meletakkan banyak garis panduan dalam usaha memelihara diri dan keluarga dari azab seksa neraka. Bersama-samalah kita pilih jalan selamat untuk menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi.

1 Julai 2010

No comments: