Sunday, April 11, 2010

Keyakinan Diri Untuk Mengubah Dunia – siri 1

Sebagai peringatan dan renungan bersama, petikan dari Majalah Solusi Isu. No. 17

Dinukilkan daripada kitab Ihya’ Ulumuddin, seorang ahli sufi telah berkata: “Biarlah aku sederhana pada pandangan orang lain, rendah pada pandangan diri sendiri dan tinggi pada pandangan Allah.” Rendah pada pandangan diri sendiri bukan bermaksud menghina diri atau “self sabotaging” tetapi bermaksud tidak memiliki sifat sum’ah dan ujub. Sum’ah itu kita suka jika mendengar pujian orang lain terhadap kita. Manakala ujub itu rasa takjub akan kelebihan dirinya.

Rendah diri itu ialah tawaduk. Yakni merasa diri belum baik, lalu berusaha terus-terusan memperbaiki diri dengan melakukan banyak kebaikan. Rendah diri itu juga bererti rasa tidak puas dengan amal yang sedikit lalu berusaha menambah amal sendiri. Rendah diri itu juga mendorong rasa sentiasa berdoa, lalu hati sentiasa merintih dan bertaubat kerananya.

Jangan silap memahami bahawa rasa rendah diri itu sebagai penyakit “inferiority complex” yang rasa terancam, bimbang dan rasa hina atas kemampuan dan kebolehan diri. Demikian itu bukan sifat orang beriman bahkan Islam melarang umatnya bersifat demikian. Firman Allah yang bermaksud: “Jangan kamu merasa lemah dan berdukacita, sebaliknya kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman” (Surah Ali ’Imran 3:139). Umat Islam ialah umat yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Keyakinan diri ialah pandangan diri terhadap diri sendiri tentang kemampuannya untuk berjaya dan cemerlang dalam hidup di dunia dan akhirat. Sesungguhnya pandangan diri anda terhadap diri sendiri adalah lebih penting berbanding pandangan orang lain terhadap kita.

Keyakinan diri sangat sinonim dengan harga diri. Keyakinan adalah perasaan stabil dan serasi dengan diri sendiri yang menyebabkan kita rasa layak, mampu dan yakin untuk mencapai kejayaan. Tanpa keyakinan diri, ilmu yang tinggi, harta yang banyak, rupa yang cantik dan apa jua kelebihan pun tidak akan menyumbang kepada kejayaan.

Untuk membangunkan semangat juang mesti bermula dengan membangunkan sikap yakin diri. Mustahil Allah mencipta kita untuk gagal – sebab Dia Maha Pemurah dan penyayang. Tuhan mahu hamba-Nya berjaya dan untuk itu kita telah diberikan-Nya segala kekuatan dan kelengkapan untuk berjaya. Tugas kita hanya untuk mengenali dan meneroka kekuatan dan kelengkapan itu. Setiap manusia tidak dibiarkan oleh Allah s.w.t. begitu sahaja tanpa kelebihan masing-masng. Kata bijak pandai, “Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza.” Malah ada yang menegaskan bahawa seiap manusia mestilah berkeyakinan bahawa dunia tidak akan lengkap tanpa kehadirannya!

Kita perlu menggunakan seluruh kelengkapan – nikmat, bakat, ilmu dan kebijaksanaan – yang diberikan Allah kepada kita secara optimum dan ke arah kebaikan. Inilah makna di sebalik tempelakan Allah yang dibuat sebanyak 31 kali dalam surah Al-Rahman mafhum firman-Nya: “Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak nafikan?”. Atas kekuatan inilah kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah, Kadi Rabb al-Jalil di padang mahsyar nanti. Ketika itu kita tidak boleh meletakkan beban dosa di pundak orang lain. Setiap diri bertanggungjawab terhadap segala kelengkapan yang telah diberikan kepadanya semasa hidup di dunia.

No comments: